Monday, February 20, 2012

Belia yang Celaru Identiti?

"Ah..beratnya rasa nak pergi esok! Kenapalah aku tulis nama hari tu?". Itulah keluhanku pada malam itu. Beberapa hari yang lalu, satu poster diedar di dalam kelas. Seminar Kecelaruan Identiti Belia. Perhatianku tertumpu ke poster itu untuk seketika. Apabila kubaca tajuk seminar itu,aku kurang faham dam merasa kurang berminat. Namun apabila difikirkan hujung minggu itu aku tidak mempunyai komitmen lain apa salahnya kuisi masaku dengan sesuatu yang dapat menambah pengetahuanku.
    Malam sebelum program tersebut, aku mulai goyah. "Nak pergi ke tak? Macam malas lah pulak?".Keesokkan paginya aku terlewat bangun itupun setelah dikejutkan rakan sebilikku. Aku terasa seperti ingin membatalkan rancanganku untuk pergi ke program tersebut. Kemudian, aku teringat akan rakanku yang merancang untuk pergi bersamaku ke program itu. Aku menghantar pesanan ringkas kepadanya supaya dia pergi dahulu kerana aku sudah terlewat bangun. Namun, sahabatku itu berkeras untuk menungguku. Program bermula pada pukul 8 pagi. Setelah aku siap dan kami berangkat untuk pergi, jam sudahpun menunjukkan pukul 8.30 pagi. Memandangkan hari ini hujung minggu, kami terpaksa berjalan kaki kerana tiada bas. Kami tiba disana selepas lebih kurang 15 minit.
    Setibanya di sana,kami terlihat ramai orang sedang mendaftarkan diri. Setelah mendaftarkan diri, aku dan rakanku diberitahu bahwa program akan bermula pada pukul 9 pagi. Aku sudah biasa dengan keadaan sebegini. Aku memahami keadaan penganjur yang perlu memaklumkan waktu program yang lebih awal dari waktu sebenar kepada peserta demi kelancaran program.
    Majlis dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah. Slot pertama dikelolai oleh En Usamah bin Izer, Ketua Biro Aktivisma Mahasiswa PEMBINA. Beliau berasal dari Sungai Petani, Kedah. Beliau menerangkan sedikit sebanyak mengenai tajuk seminar ini. Selepas rehat selama 15 minit, slot kedua iaitu Forum Penyelesaian : Terapi Identiti bermula. Antara panelnya ialah Ustaz Mohamad Fauzi bin Asmuni, Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA); Prof. Dr. Badrulhisham bin Abd Aziz, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Malaysia Pahang merangkap Ahli Majlis Syura ISMA serta Ustazah Amie Sofea binti Ahmad, Juara Program Realiti Solehah TV Al-Hijrah musim pertama.
    Selepas solat Zuhur dan makan tengahari, diadakan persembahan pentomen yang menceritakan tentang seorang anak muda (Ibrahim) yang dihantar ayahnya untuk menyambung pelajaran di Amerika Syarikat. Namun, pemergiannya ke Amerika Syarikat tidak disenagi oleh bapa-bapa saudaranya dan penduduk kampung kerana mereka khuatir Ibrahim akan membawa pengaruh tidak baik dari negara Barat itu ke kampung mereka. Walaubagaimanapun, di penghujung cerita, Ibrahim berjaya menarik minat penduduk kampung dengan pandangan dan pemikirannya yang hanyalah ingin membantu memulihkan keadaan belia masa kini yang semakin rosak. Setelah itu, kami dihidangkan pula dengan persembahan sajak yang membawa maksud dan pesanan yang sangat mendalam. Ini bertujuan untuk menanamkan semangat berkobar-kobar dalam diri setiap belia untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara. Sedang belia kita enak didendangkan lagu, belia di Syria dan Palestin bergelut dan berjuang menentang kezaliman dan ketidakadilan yang berlaku. Sedang belia kita goyang kaki tengok TV, belia di sana putus kaki mempertahan agama sendiri.
    Slot yang seterusnya adalah slot muhasabah yang bertajuk Bidadari Syurga. Aku kurang pasti apakah kaitan tajuk tersebut dengan slot itu tetapi mengikut pemikiranku mungkin slot itu diadakan bagi melahirkan insan-insan yang layak bergelar bidadari/penghuni syurga. Slot ini dikelolai oleh runner up Program Realiti Solehah TV Al-Hijrah, Ustazah Mazwani. Slot ini mengajak para peserta untuk membayangkan seandainya Rasulullah masih berada bersama kita, apakah mesej atau luahan yang kita ingin sampaikan kepada baginda. Membayangkan kehadiran baginda, meruntun hatiku. Air mata yang tertakung tidak tertahan lagi. Terasa malu. Malu yang teramat sangat. Tangan mula menulis luahan yang ingin disampaikan seandainya baginda masih ada. "Layakkah aku? Layakkah aku? untuk mengakui sebagai umatmu? umat yang dipertanggungjawabkan untuk meneruskan perjuanganmu?Perjuangan menegakkan agama Allah. Apakah sumbanganku untuk tujuan itu?"
    Slot yang terakhir adalah ucapan daripada wakil Jabatan Belia dan Sukan. Beliau berkongsi serba sedikit kata-kata perangsang dan harapan beliau. Seminar pun berakhir. Semasa berjalan pulang, aku berterima kasih kepada rakanku kerana berkeras untuk menungguku. Jika tidak, aku pasti tidak akan merasai nikmat yang kurasakan ini. Alhamdulillah kerana Allah telah memberi aku peluang untuk mengikuti program seumpama ini.